KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu membayangkan cadangan untuk membina lapangan terbang di Tapah atau Behrang kerana ia didapati lebih sesuai, berbanding dengan cadangan awal di Seri Iskandar.

Menurut beliau, cadangan itu juga tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana sudah terdapat kemudahan lebuh raya di kedua-dua tempat itu yang tiada di Seri Iskandar.

Tambahan pula, kata beliau, Tapah atau Behrang tidak jauh daripada Tanjung Malim yang merupakan `auto city’.

“Kalau hendak membuat lapangan terbang, sudah tentu memerlukan sistem jalan raya atau lebuh raya yang baik. Kenapa tidak kita cadangkan di Tapah atau Behrang kerana sudah ada lebuh raya.

“Lagipun, jarak antara Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dah Behrang ke Kuala Lumpur lebih kurang sama,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Dewan Seri Mercu dan perjumpaan dengan penjawat awam di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Khas kepada Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Datuk Shahrom Abdul Malik.

Ahmad Faizal berkata, fokus Bajet 2019 negeri Perak yang dijangka dibentangkan bulan hadapan akan memberi fokus kepada mensejahterakan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, khususnya perumahan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan berusaha untuk mencari jalan agar rumah yang dibina di negeri ini di bawah harga RM100,000 dengan keluasan kira-kira 1,200 kaki persegi.

“Yang penting kita sediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat, mungkin kita boleh kurangkan premium tanah dan spesifikasi kemudahan infrastruktur supaya harga rumah juga dapat dikurangkan,” ujarnya.

Selain perumahan, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri juga akan berusaha untuk melaksanakan projek yang memberi impak tinggi, seperti pembesaran pelabuhan Lumut dan cadangan lapangan terbang.

Sementara itu, ketika dialog dengan penjawat awam, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri merancang untuk terus menganjurkan pelbagai festival dalam usaha menarik pelancong ke negeri ini.

Menurut beliau, perkara berkenaan telah terbukti antaranya menerusi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 baru-baru ini, yang dilihat membantu meningkatkan sedikit pendapatan golongan peniaga.

Katanya, Perak mempunyai banyak tempat pelancongan yang boleh menarik kunjungan pelancong ke negeri ini.