IPOH – Beberapa fasiliti di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini akan dinaiktaraf bermula hujung tahun ini bagi memberi keselesaan lebih kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, tiga aspek yang akan dinaiktaraf di lapangan terbang itu adalah kawasan Apron Parkir Pesawat (Aircraft Parking Apron), kawasan pengasingan operasi pesawat (Segregation of aircraft operations) dan kawasan terbuka (Open Bay).

“Kerja-kerja naiktaraf bernilai RM1.3 juta ini dijalankan sendiri oleh pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) sendiri dan dijangkan siap pada suku kedua tahun hadapan.

“Ia penting kerana ia akan memberi keselesaan yang lebih kepada pengguna dan juga menaikkan imej negeri ini sendiri kerana lapangan terbang ini merupakan antara benda pertama yang pelancong akan melihat sebaik tiba di sini, jadi kita perlu berikan gambaran yang baik,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di lapangan terbang berkenaan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga ketika ini sedang berusaha untuk memperbanyakkan lagi jumlah penerbangan di lapangan terbang berkenaan untuk memastikan ia betul-betul digunakan secara optimum.

“Setakat ini jumlah kapal terbang yang mendarat dan berlepas di lapangan terbang ini sebanyak 112 antarabangsa dan 56 domestik sebulan manakala untuk sepanjang tahun lalu sahaja seramai 276,000 pengguna telah dicatatkan, jadi kita mahu tingkatkan lagi jumlah itu.

“Terbaharu, bermula 1 Oktober ini pula kapal terbang Airasia akan memulakan operasi mereka di sini, ianya merupakan satu perkembangan yang amat positif, kerajaan negeri akan terus berusaha mempelbagaikan lagi destinasi yang disediakan di lapangan terbang ini,” ujarnya.

Setakat ini sebanyak tiga syarikat penerbangan sedang beroperasi di LTSAS terdiri daripada Malindo Air, Flyscoot dan Firefly yang menawarkan destinasi ke Johor Bahru, Medan serta Singapore secara harian.

Bermula 1 Oktober depan, syarikat penerbangan AirAsia juga akan mula beroperasi di lapangan terbangan berkenaan dengan menawarkan destasi ke Johor Bahru pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan juga Ahad.