IPOH: Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang ditutup sementara sejak petang semalam, selamat untuk digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, lubang yang terdapat di atas landasan lapangan terbang itu telah dibaiki malam tadi.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lubang itu adalah disebabkan hakisan ekoran hujan lebat yang turun hampir setiap hari sejak kebelakangan ini.

Katanya, air hujan yang bertakung dikatakan telah menyebabkan hakisan sehingga membentuk lubang berukuran 12 sentimeter dengan kedalaman satu meter.

“Segala kerja penambahbaikan ataupun penambakan telah siap dilaksanakan dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh ini adalah selamat untuk digunakan,” katanya dalam sidang media selepas melawat tempat kejadian pada Jumaat.

Dr Mah memberitahu, penerbangan pertama untuk hari ini ialah ketibaan dari Singapura pada jam 5 petang dan diikuti dengan penerbangan ke Singapura pada jam 5.35 petang.

LTSAS ditutup sementara sejak 6.40 petang Khamis selepas pemeriksaan rutin pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) petang semalam, mengesyaki terdapat tanah mendap (sinkhole) di atas landasan.

Penutupan itu menyebabkan dua belas (12) penerbangan terpaksa dijadualkan semula.

Menurut Dr Mah, tidak ada penumpang yang akan terkandas, mereka akan menaiki pesawat yang dijadualkan semula atau menaiki pesawat berikutnya ke destinasi yang sama.

Beliau menjelaskan, lubang yang terjadi itu terletak kira-kira 750 meter daripada tanah mendap yang berlaku pada 2014.