PETALING JAYA : Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Putrajaya masih belum mendapatkan bukti jelas berhubung dakwaan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan sumbangan AS$1 juta kepada Tamil Sri Lanka.

Mahathir berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya ada ahli Parlimen atau mana-mana pihak mempunyai bukti berhubung derma yang dilakukan kerajaan terdahulu supaya membuat laporan polis.

“Setakat ini kita belum dapat bukti yang jelas tetapi kalau Yang Berhormat mempunyai bukti jelas, kita minta supaya ia buat laporan polis supaya tindakan dapat diambil,” katanya di Dewan Rakyat.

Mahathir berkata demikian menjawab pertanyaan S Kesavan (PKR-Sungai Siput) yang memintanya menjelaskan tindakan yang diambil Putrajaya berhubung dakwaan sumbangan dibuat kerajaan BN kepada mangsa peperangan di Sri Lanka sebanyak AS$1 juta.

Sebelum ini, veteran DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan pada Oktober memberitahu bekas perdana menteri Najib Razak menyumbang AS$1 juta kepada Tamil Sri Lanka pada 2012 akibat pengusiran mereka di negara berkenaan.

Terdahulu, bahagian Unit Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia bertindak menahan seramai 12 individu termasuk 2 Adun DAP, G Saminathan dan P Gunasekaran, kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma. Polis mendakwa salah seorang suspek merancang untuk menyerang Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia.

Mahathir juga berkata, Putrajaya sedang membuat kajian terhadap undang-undang bersifat drakonian untuk mengasingkan dan mencari perbezaan antara kesalahan ringan dan berat, iaitu yang membawa kemudaratan dan mengancam keselamatan dalam negara dan kesalahan yang dilakukan tanpa disedari.

“Dalam melaksanakan undang-undang, kuasa perlulah diberikan kepada mereka yang ditugaskan untuk melaksanakan undang-undang, dalam kes ini polis berkuasa jadi terpulanglah kepada mereka untuk dapatkan bukti yang jelas sebelum mengambil tindakan.

“Pihak kerajaan berpendapat, ini tidak lengkap kerana tidak dapat bezakan antara perbuatan ringan dan berat. Umumnya di bawah undang-undang ini kita gunakan untuk tahan mereka yang terlibat dengan keganasan, umpamanya melengkapkan diri dengan bom.

“Pada masa sama, ada juga yang tidak kuat, mereka terperangkap hanya dengan mengambil gambar, sebaliknya dia tidak kenal orang itu dan ada yang hanya berikan RM200 atau RM300, ia tidak boleh jatuhkan kerajaan. Jadi, perlu asingkan jenayah ringan dan jenayah berat,” katanya.