IPOH: Laporan akhir punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan di Subang, Selangor dijangka siap dalam masa sebulan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kelewatan itu disebabkan ia memerlukan keputusan ujian darah.

Menurut beliau, laporan ujian darah lazimnya memerlukan masa kira-kira sebulan untuk mendapatkan keputusan lengkap.

“Malah di Amerika Syarikat pun mengambil masa untuk dapatkan keputusan bagi kematian Michael Jackson dan Whitney Houston.

“Ahli patologi tahu kecederaan yang menyebabkan kematian dan ujian darah akan melengkapkan laporan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong dan kesedaran denggi di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, pada Rabu.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.