IPOH 20 April – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari empat bahagian di Perak hari ini membuat laporan polis berhubung rakaman audio mengenai seorang individu dipercayai Exco kerajaan negeri yang mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam kenyataannya, Armada negeri berkata, laporan polis telah dibuat oleh wakil Armada Bahagian Kampar, Beruas, Teluk Intan dan Larut.

Menurutnya, dalam laporan yang dibuat itu, Armada meminta polis menyiasat identiti individu di sebalik rakaman audio tersebut.

“Jika benar ia melibatkan Exco kerajaan negeri, ia adalah perbuatan yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri yang ditubuhkan secara sah.

“Armada Perak meminta pihak polis segera menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit sekiranya dakwaan itu benar,” katanya.

Satu laporan polis berhubung isu yang sama turut dibuat oleh Pertubuhan Masyarakat Muafakat Larut, Matang dan Selama. – UTUSAN ONLINE