PADANG RENGAS: Unjuran ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini tidak boleh dijadikan penanda aras kepada prestasi sepanjang tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata keadaan ekonomi perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan laporan tahunan untuk menentukan sama ada ekonomi berkembang atau menguncup.

“Sewajarnya suku pertama tidak boleh dijadikan sebagai bukti konklusif pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam konteks negara Malaysia saya berpendapat ramalannya masih kukuh, sebagaimana kita ketahui Malaysia terdedah kepada iklim ekonomi dunia.

“Kita amalkan ekonomi pasaran ekonomi dan bukan ekonomi tertutup,” katanya ketika mengulas laporan ekonomi Malaysia yang dikeluarkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia.

Laporan itu menunjukkan pertumbuhan bagi suku yang baru berakhir adalah yang terbaik sejak suku perbandingan pada tahun 2015.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran FitPerak@Kuala Kangsar dan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di SMK Tun Perak, Padang Rengas pada Sabtu.