KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan restoran tidak dibenarkan mengambil tukang masak rakyat asing, Menteri Sumber Manusia hari ini berkata ia hanya cadangan.

M Kulasegaran berkata, kementeriannya akan berbincang lanjut dengan pihak berkepentingan sebelum keputusan muktamad dilakukan.

Pengumuman beliau semalam menerima kritikan banyak pihak yang membantahnya.

“Arahan meminta restoran untuk mengupah tukang masak tempatan hanya satu cadangan dan belum ada tarikh tertentu untuk melaksanakannya,” katanya dihubungi hari ini.

Semalam, Kulasegaran dipetik sebagai berkata bahawa semua restoran yang menghidangkan makanan Melayu dikehendaki mengambil penduduk tempatan sebagai tukang masak mulai 1 Januari tahun depan.

Bilangan pekerja asing di negara ini meningkat daripada 1.06 juta pada 2002 kepada 1.8 juta pada 2017.

Daripada jumlah ini, kira-kira 250,000 kerja di sektor perkhidmatan termasuk di restoran – berita harian