Peranan wanita tidak dapat disangkal lagi dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Peranan sebagai pekerja dan ibu pada masa yang sama menuntut pengorbanan yang bukan sedikit nilainya bahkan ada di kalangan mereka memegang jawatan penting di dalam sesebuah kerajaan, organisasi dan syarikat.

Lantaran tuntutan ekonomi dan keperluan untuk membantu suami, ramai wanita yang keluar bekerja. Tidak kurang wanita yang bergelar ibu tunggal dan menjadi penyumbang utama dalam sesebuah keluarga memerlukan pusat asuhan untuk meninggalkan anak-anak mereka semasa mereka mencari nafkah.

Pusat asuhan menjadi ‘penyambung nyawa’ kepada wanita untuk meletakkan kepercayaan kepada orang lain untuk menjaga anak-anak mereka. Walaupun banyak perkhidmatan pusat asuhan disediakan kebelakangan ini, namun ramai wanita bekerja mengharapkan agar mereka boleh mendapat perkhidmatan pusat asuhan yang lebih dekat dengan tempat kerja.
Pengerusi Ipoh City Watch Profesor Madya Dr Richard Ng menyarankan agar pusat asuhan kanak-kanak diwujudkan di tempat kerja bagi memudahkan kam wanita terutama golongan ibu tunggal yang bekerja dan mengambil peranan sebagai ketua keluarga.
“Harapan saya pada kerajaan baru ini, adalah supaya melihat isu yang berkaitan dengan ekonomi keluarga terutama yang melibatkan wanita bekerja. Contohnya ada wanita yang terpaksa menyara hidup sebagai ketua keluarga dan mereka mempunyai anak jadi kita cadangkan supaya tempat-tempat kerja diwujudkan nurseri supaya anak-anak mereka boleh dihantar ke tempat nurseri. Juga kepada wanita-wanita yang terpaksa bekerja shif.
“Jadi saya menyeru kepada kerajaan supaya membuat satu dasar supaya wanita ini tidak perlu kerja shif malam. Jadi kalau boleh mereka kerja shif pagi supaya selepas kerja mereka boleh bersama dengan anak-anak mereka. Sebab masa berkualiti dengan anak itu amat penting,” ujar beliau ketika ditemui Suara Perak.
Dengan menawarkan kemudahan ini, ia boleh membantu meningkatkan produktiviti wanita di tempat kerja dan dapat meluangkan masa dengan anak mereka ketika waktu rehat.
Ia juga dilihat sebagai satu langkah yang menyumbang kepada penjimatan kerana mereka boleh menjimatkan kos pengangkutan apabila pusat asuhan di tempat kerja.

Pusat Asuhan Di Tempat Kerja

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, YB Wong May Ing berkata perancangan untuk mewujudkan nurseri atau pusat asuhan di tempat kerja telah diilhamkan sebelum beliau dilantik untuk menjadi Exco tersebut.
“Cadangan ini sudah lama diusulkan termasuk semasa sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu.
“Terdahulu, kita juga sudah pun mendapatkan maklumbalas dari orang awam dan agensi-agensi tertentu namun masih tidak mendapat jawapan begitu menggalakkan.
“Ini tidak akan melemahkan semangat saya dan saya akan fokus dengan isu ini kerana saya sendiri pun perlukan perkhidmatan memandangkan kerana anak saya baru satu tahun lebih sahaja. Atas tuntutan kerja yang memerlukan saya di Ipoh, saya harus tinggalkan anak saya di Pantai Remis jadi saya perlu membawa dia ke sini di masa akan datang agar dapat meluangkan masa dengan dia.
“Oleh itu, saya perlu mewujudkan pusat asuhan yang berada di tempat kerja bukan sahaja untuk saya malah untuk kemudahan semua wanita bekerjaya yang bersesuaian dengan khidmat yang baik serta harga yang munasabah,” katanya lagi.
Beliau menjadikan cadangan ini sebagai pemangkin untuk merealisasikan harapan rakyat kerana beliau maklum dengan masalah yang dihadapi oleh para wanita bekerjaya.