KUALA LUMPUR,  2 Nov ― Penceramah bebas Haslin Baharin mohon mengadap sultan Johor berikutan larangan terhadapnya.

‘Ustaz Bollyowod’ itu sedia memberi penjelasan selain berminat mengetahui kandungan ceramahnya yang dipertikai, lapor Harian Metro.

Terkejut dakwaan “membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum”, beliau sedia bertemu pihak Istana dalam masa terdekat.

“[…] Saya yakin dengan sifat keterbukaan dan berjiwa rakyat Tuanku, saya dibenarkan datang mengahadap untuk bersemuka,” katanya.

Beliau, turut dilarang di Singapura, juga bercadang bertemu Majlis Agama Islam Johor dan exco agama Abdul Mutalip Abd Rahim.

Beliau juga tidak tahu ceramah yang mana dikatakan menjadi isu perpecahan kaum di Singapura dan Johor.

“Mungkin ada perkara yang saya sebut dalam ceramah itu salah, saya sedia berjumpa pihak berkaitan atau menghadap Tuanku untuk minta ampun,” katanya.

Haslin juga menunggu perbincangan dengan kerajaan Singapura tetapi belum ada maklum balas.