Kuala Lumpur: Tindakan pengharaman perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride yang dilihat mendatangkan pelbagai risiko kepada penggunanya adalah muktamad dan dipersetujui Kabinet.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, arahan diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pertengahan Februari lalu adalah jelas dan pihak pengendali perkhidmatan berkenaan perlu mematuhinya atau berdepan tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, selain risiko kehilangan nyawa akibat kemalangan, motosikal yang menjadi penyumbang utama peningkatan kadar kematian di jalan raya, pengusaha perkhidmatan teksi motosikal itu juga tidak mematuhi garis panduan ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Malaysia berada di landasan tepat ke arah negara maju di mana berbilion ringgit diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf dan menghasilkan kemudahan pengangkutan awam sistematik, termasuk Projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar majlis Penyerahan Catenary Eye System oleh Meidensha-Meiden Malaysia Sdn Bhd kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, semalam.

-myMetro