IPOH– Semua pemilik anjing di Taiping dan Bukit Gantang ditegah membawa keluar haiwan peliharaaan itu dari Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) tanpa kebenaran Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak.

Pengarahnya, Dr. Ahmad Shafri Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan keputusan kerajaan negeri yang mewartakan Daerah tersebut sebagai kawasan jangkitan Rabies atau penyakit anjing gila pada Isnin lalu.

Ujarnya lagi, kegagalan dalam mematuhi arahan itu boleh menyebabkan mana-mana anjing yang dijumpai dalam kawasan jangkitan berdepan risiko untuk dimusnahkan.

“Pemilik atau individu yang bertanggungjawab terhadap anjing dalam kedua-dua mukim itu hendaklah menyimpan anjing di bawah kawalan ketat dengan mengurung dalam kawasan tertutup, yang tidak membolehkan ia melepaskan diri.

“Mengikatnya dengan selamat serta menuntun ia dengan rantai, tali pintal atau kulit yang diikat kuat pada relang leher.

“Semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas yang berada dalam kawasan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang hendaklah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Veterinar untuk disuntik dengan vaksin penyakit anjing gila,” katanya dala satu kenyataan pada Rabu.

Justeru itu katanya, mana-mana pemilik anjing yang didapati tidak mematuhi langkah-langkah kawalan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau hukuman penjara tidak lebih 3 bulan, di bawah Akta Binatang 1953 .

Katanya lagi, kerjasama orang ramai diperlukan khususnya di kawasan tersebut bagi memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabies kerana penyakit ini boleh merebak dari haiwan kepada manusia melalui air liur, akibat gigitan atau luka yang terbuka.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Veterinar jika terdapat anjing berkeliaran di sekitar kediaman masing-masing ataupun mana-mana kawasan di talian 05-8072703.