Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Larangan pemakaian tudung seperti yang dibangkitkan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) adalah sesuatu tindakan terkebelakang di negara ini, yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana selama ini rakyat hidup dalam suasana saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurut beliau, isu tersebut sudah tidak dibincangkan lagi di negara ini dan diterima oleh semua pihak, baik di kalangan muslim mahupun yang bukan beragama Islam, baik di tempat kerja atau di mana-mana sekalipun.

“Saya tidak faham kenapa ada kalangan yang memberi syarat-syarat yang agak ketinggalan ini dan disokong pula oleh persatuan yang datangnya dari negara sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau mengulas reaksi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung tindakan beberapa rangkaian hotel antarabangsa yang melarang pekerja wanita beragama Islam di bahagian khidmat pelanggan untuk memakai tudung.

Nazri menyifatkan, tindakan syarikat rangkaian hotel antarabangsa itu dianggap tidak menghormati Malaysia sebagai negara yang majoritinya beragama Islam sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Sambil menyokong kenyataan itu, Dr Zambry berkata, MAH sepatutnya menasihatkan mana-mana kumpulan atau hotel yang hendak beroperasi di negara ini bahawa pemakaian tudung di Malaysia adalah perkara biasa dan diterima oleh semua orang.

“Kita tidak terasa asing antara orang Islam dan bukan Islam duduk bersama, bukan sesuatu yang luar biasa dan tindakan yang dibuat itu adalah tindakan terkebelakang, bukan terkehadapan.

“Saya rasa kecewa dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan saya setuju dengan pandangan Datuk Seri Nazri, adakan yang tidak berpakaian lebih disukai ataupun lebih beradap,” ujarnya.

Beliau berpendapat, perkara-perkara seumpama itu sepatutnya tidak dibincangkan dan tidak dijadikan sebagai syarat kerana ia adalah hak individu.