TAIPING: Padah melarikan diri dari lokap tahanan Balai Polis Taiping, minggu lalu atas alasan ingin menyambut hari lahirnya bersama teman wanita, seorang pemasang jubin dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh Pang Hung Boon, 37, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Mohd Hairol Jemain menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati alasan diberikan tertuduh yang mengakui lari daripada lokap kerana ingin menyambut hari lahir bersama teman wanitanya adalah tidak munasabah.

Mohd Hairol turut mendapati alasan berkenaan mencacatkan objektif tertuduh ditahan sekali gus rayuannya untuk hanya dikenakan hukuman denda ditolak.

Terdahulu Hung Boon dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien dan mengaku melakukan kesalahan itu pada 27 Oktober lalu pada jam 7.32 malam.

Dia didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan lokap Balai Polis Taiping kerana ditahan secara sah bagi kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

Hung Boon ditahan semula ketika sedang menaiki sebuah motosikal di Jalan Medan Kamunting 2, Kamunting, di sini pada jam 4.45 pagi Isnin lalu.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hung Boon dalam rayuannya mengatakan dia yang sudah bercerai perlu menjaga bapanya dan teman wanita serta anaknya.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk hanya dikenakan denda kerana tertuduh mempunyai empat rekod jenayah lampau pada 2014, 2015 dan 2016 – berita harian