Oleh: Mohd Shafiq Noordin

SERI MANJUNG: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini, kerana membunuh dua anggota pasukan tentera itu ketika dalam tahanan pada 29 September lalu.

Tertuduh, Laskar Kanan Mohd Izhrifikri Roslee, 29, didakwa dengan dua pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Izhrifikri, dituduh menyebabkan kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuiman Mohd Sukri, 26.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di padang latihan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang pada 29 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan diambil daripada Mohd Izhrifikri yang hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.

Majistret Nur Shaqira menetapkan 12 Disember ini untuk kes itu disebut semula dan tiada jaminan ditawarkan.

Di mahkamah sama, dua lagi anggota TLDM turut didakwa dengan tiga pertuduhan mencederakan Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuiman pada 28 dan 29 September lalu.

Laskar Kanan Hamzah Zakaria, 35, didakwa mencederakan Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuiman di laluan hadapan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan pada jam 10.30 pagi pada 29 September lalu.

Laskar Kanan Mohd Farid Musa, 32, pula didakwa mencederakan Nik Muhammad Baihaqy di Pejabat Pengawal bilik tahanan yang sama pada jam 12.30 tengah malam pada 28 September lalu.

Kedua-dua mereka yang dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Shaqira.

Nur Shaqira menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan menetapkan jaminan RM8,000 terhadap Hamzah dan RM4,000 terhadap Mohd Farid.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.