Dusun Buah dan Beruk Peliharaan

Air yang jernih dan masih terpelihara daripada sebarang pencemaran serta kicauan burung dan unggas hutan pasti menggamit perhatian sesiapa sahaja yang bertandang ke sini.
Sesekali kelihatan kelibat penunggang motosikal lengkap berpakaian untuk ke kebun, lazimnya mereka ditemani seekor beruk yang membonceng di bahagian hadapan.
Beruk peliharaan bukanlah pemandangan asing di Lata Rambong, Sungai. Siputeh, Selama berikutan kawasan perkelahan itu juga sinonim dengan dusun buah-buahan seperti langsat dan petai.
Malah, sepanjang jalan menuju ke Lata Rambong juga terdapat beberapa tempat khusus untuk pengumpulan buah.
Selama adalah sebuah daerah kecil yang merupakan sebahagian daripada Daerah Larut Matang & Selama.
Ia terletak di antara hujung jalan terakhir yang mana penghujungnya merupakan Kampung Teluk Mas yang bersempadan dengan Selama, Kedah.
Dahulu, Daerah Selama dikenali sebagai Kampung Selamat dan diterokai oleh Abdul Karim Raja Aman Shah pada tahun 1870 Masihi.
Beliau berasal dari Sumatera, Indonesia dan bekerja sebagai budak pejabat di bawah Orang Kaya Menteri Larut, Long Jaafar pada ketika itu.
Atas kegigihan dan semangat beliau yang kental, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi kerani dan meminta restu daripada Ngah Ibrahim iaitu anak kepada Long Jaafar untuk membuka sebuah kampung di Utara Larut pada tahun 1858.
Abdul Karim telah menjumpai bijih timah di belakang kawasan yang kini menempatkan Pejabat Daerah Selama. Kemudian, beliau menjemput orang Cina dan Sumatera datang ke Selama untuk memajukan hasil bijih timah di sini.
Kini, Selama telah berusia lebih daripada satu abad dan banyak menyimpan pelbagai kisah menarik dan bersejarah dari zaman Penjajahan Inggeris sehinggalah peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pengasas Selama, Abdul Karim telah menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1890 dan dikebumikan di perkuburan berhampiran Masjid Lama Selama.
Guna Beruk Petik Buah Seorang pemetik buah dalam lingkungan 50an yang ditemui dalam perjalanan masuk ke lata itu berkongsi pelbagai cerita mengenai lata itu.
“Pakcik tengah tunggu orang bawa turun buah langsat dengan petai dari dusun.Tak lama lagi keluarlah tu, macam biasalah kalau pergi dusun ada yang bawa beruk, sebab pokok petai tinggi, dah kurang yang guna kederat manusia,” jelas Mat Isa Sudin dari Kampung. Telok Mas, Selama.
Jangka hayat seekor beruk untuk memetik atau memanjat buah adalah antara lapan hingga 10 tahun dan selepas tempoh itu ia dianggap terlalu tua untuk menjalankan kerja berkenaan.
“Bela beruk kadangkala perlu kesabaran tinggi, ia tidak boleh bercakap tetapi faham apa yang kita arahkan.
“Kena latih dari kecil supaya dia kenal kita dan tidak memberontak, lepas saja petik buah, kita akan upah dia dengan makanan,” katanya.

Jadi tumpuan penduduk berkelah

Selain terkenal dengan air sungai yang jernih serta masih terhindar daripada pencemaran alam, lata ini juga merupakan lokasi yang sesuai dengan pelbagai tanaman.
“Dusun di sini ada banyak tuan, bukan seorang saja, ada macam-macam pokok termasuk durian, langsat, petai, rambutan dan sebagainya,” katanya tidak lokek berkongsi cerita.
Menurut peraih buah itu lagi, terdapat beberapa lata di daerah Selama seperti Lata Damak dan Lata Tebing Tinggi yang juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

lata-rambong-2
“Selalunya pengunjung suka datang sini, paling ramai bila waktu cuti sekolah, budakbudak datang dengan keluarga dan nampak meriah.
“Kalau hari biasa macam hari ini tak begitu ramai. Kalau ada pun cuma orang tempatan ataupun pengusaha dusun yang kadang-kadang jenguk hasil tanaman,” katanya.
Ujarnya, Lata Damak terletak berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Bayor dan perlu melalui jalan bertar di sebelah sekolah itu, manakala Lata Tebing Tinggi pula berada kira-kira 3km dari pekan Selama.
Kecantikan semula jadinya menyebabkan lata ini sentiasa mengamit krew produksi untuk dijadikan lokasi pengambaran bagi telemovie tempatan.

lata-rambong-3

Sungai Penghubung Ke Madrasah Tahfiz Nur As Salam

Mat Isa turut membawa ke sebatang sungai di lata itu yang menjadi penghubung ke Madrasah Tahfiz Nur As Salam. Jalan konkrit itu boleh digunakan kenderaan berat atau orang ramai ke Madrasah Tahfiz Nur As Salam yang diwujudkan khas untuk para pelajar mengikuti kem motivasi dan rekreasi dengan yuran yang berpatutan.
“Tempat ini tanah wakaf, memang setiap bulan ada pelajar dari sekolah datang untuk ikuti kelas yang mereka anjurkan. Lengkap dengan dewan, surau dan rumah untuk proses pembelajaran.
“Pendek kata, sesuai bagi mereka yang inginkan suasana tenang, nyaman lebih-lebih lagi dengan bunyi desiran air dari Lata Rambong di belakang madrasah ini,” katanya.