IPOH:
Walaupun sebagai pendatang baru Liga Super musim 2018, PKNP FC mahu menjadi pencabar sengit kepada pasukan-pasukan pilihan liga musim ini.

Presidennya, Datuk Aminuddin Md Desa berkata, pasukannya bukan sahaja mahu terus kekal dalam saingan Liga Super, malah mahu menempatkan diri sebagai antara enam pasukan terbaik liga.

Sehubungan itu, bagi menaikkan lagi semangat pemain, kata beliau, PKNP FC akan menubuhkan kelab penyokong sendiri yang menjanjikan pelbagai faedah kepada ahli-ahlinya.

“Saya yakin, dengan kebolehan dan komitmen semua pihak, kita akan dapat memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi baru PKNP FC dari jenama FILA di MAPS di sini, hari ini.

Selain pemain pasukan Liga Super, pemain-pemain Piala Presiden dan Belia juga diperkenalkan pada majlis tersebut.

Laungan_PKNPfc 3Aminuddin berkata, PKNP FC bukan sahaja bermain untuk menang tetapi turut mahu menekankan program pembangunan bola sepak untuk melatih dan mengasah bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan.

Beliau memberitahu, pihaknya memilih dua buah sekolah angkat iaitu SMK Anderson, Ipoh dan Sekolah Sukan Air Kuning, Tapah untuk program tersebut.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai bintang bola sepak daripada Perak dan akan memberi sokongan teknikal, kepakaran, kejurulatihan dan penajaan kepada kedua-dua sekolah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan Liga Super PKNP FC, Abu Bakar Fazim berkata, sebagai sebuah pasukan `underdog’, anak-anak buahnya akan memberi persembahan terbaik mereka.

“Sebagai sebuah pasukan `underdog’, kita akan memberi tekanan kepada pasukan-pasukan pilihan dan tidak akan memberi laluan mudah untuk mereka,” katanya.

PKNP FC akan memulakan cabaran Liga Super musim ini dengan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu ini di Stadium Batu Kawan yang menjadi `home ground’ pasukan tersebut.

Selepas itu mereka akan menghadapi dua pasukan pilihan, JDT dan Kedah pada perlawanan kedua dan ketiga.

Laungan_PKNPfc 2