PUTRAJAYA 10 Dis. – Keadaan perairan negara yang bebas daripada ancaman lanun sejak beberapa tahun lalu telah berjaya menyakinkan komuniti antarabangsa untuk memilih sekali lagi Malaysia sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi tempoh 2018-2019.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kejayaan itu dicapai daripada hasil kecekapan agensi yang terlibat dalam mengawal perairan negara.

Beliau berkata, jalinan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa membabitkan dua negara jiran, Indonesia dan Singapura turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Dari segi keselamatan, Jabatan Laut telah bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia bagi membantu menjaga perairan utama negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Hasil pemantauan ini, sejak tiga empat tahun lalu perairan negara telah bebas daripada sebarang aktiviti lanun yang boleh mengancam kapal-kapal di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Larian Maritim 2017 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Malaysia dipilih buat kali ketujuh berturut-turut sebagai Ahli Majlis IMO bagi kategori C ketika Persidangan Agung IMO di Ibu Pejabat IMO, London, England.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, lebih membanggakan apabila Malaysia berjaya menduduki tempat kesembilan berbanding tempat ke-17 dalam pemilihan sebelum ini.-UTUSAN ONLINE