JABATAN Penjara Malaysia menetapkan tarikh lawatan sempena Hari Raya Aidiladha bagi keluarga penghuni di semua institusi penjara pada 23 dan 24 Ogos.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata, institusi yang terbabit adalah pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas dan Sekolah Henry Gurney.

Katanya, semua pelawat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang waktu melawat bermula jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

“Pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni. Semua makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara.

“Keutamaan lawatan pada hari berkenaan juga diberikan kepada penghuni beragama Islam dan diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, pelawat tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar penjara – hmetro