Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU KURAU: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama dua hari ke Amerika Syarikat membuktikan kejayaan Malaysia dalam bidang pelaburan yang diiktiraf di peringkat global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perbincangan bersama Presiden Donald Trump jelas menampakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan progresif sepanjang pentadbiran Najib.

Katanya, setiap buah fikiran dan pandangan yang diberikan oleh Najib dipandang tinggi oleh kuasa-kuasa besar dunia.

“Sepatutnya rakyat berasa bangga kerana walau apa pun orang cakap…Amerika tetap merupakan sebuah negara ekonomi yang tersebar di seluruh dunia.

“Maka dengan memberikan pengiktifaran kepada Perdana Menteri, menunjukkan mereka tahu bahawa Malaysia dipimpin oleh kerajaan yang bertanggungjawab yang boleh memberikan sumbangan kepada dunia.

“Apa yang dibincangkan bukan sahaja bersifat bilateral, malah isu global seperti keselamatan, keganasan dan kita berkongsi pengalaman dari segi kepakaran dan kemahiran bagaimana menangani masalah besar dunia.

“Maka sebab itulah banyak negara besar seperti China, Arab Saudi dan Amerika, malah United Kingdom mahu persahabatan rapat dengan Malaysia dari segi dagangan.

“Ini jelas menunjukkan betapa tingginya hubungan diplomatik ini berjalan lancar di zaman pemerintahan Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Fiesta Larut di sini, hari ini.

Hamzah turut melahirkan sokongan kepada Syarikat (GLC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional untuk menambah pelaburan di Amerika Syarikat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, rakyat harus sedar bahawa situasi ekonomi serta isu global kini telah berubah, justeru sebarang percubaan untuk merosakkan pemikiran rakyat dengan komen negatif adalah tidak rasional.

“Dahulu, apa sahaja yang dilakukan seperti perihal Forex dilaksanakan secara diam-diam, tetapi hari ini kita dedahkan setiap daripadanya kerana kita sangat telus dalam apa sahaja yang dilakukan untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Segala tohmahan yang dilakukan pembangkang hanya untuk memutarbelitkan serta merosakkan pemikiran rakyat dan imej negara, malah menimbulkan keraguan, itu kerja mereka,” ujarnya.