IPOH: Antara 10 dan 13 peratus pelajar sekolah di Perak menghadapi masalah kesilapan reflaksi (refractive errors) seperti rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme (ketidaksempurnaan dalam kelengkungan kornea mata).

Pakar Mata Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB), Datuk Dr Jasvindar Singh berkata, penemuan itu diperolehi daripada saringan yang dibuat terhadap lebih 2,000 pelajar di negeri ini.

Menurut beliau, dari segi luarannya, mata mereka mungkin nampak normal, tetapi sebenarnya mereka menghadapi masalah yang perlu dirawat.

Sehubungan itu, kata beliau, pelajar-pelajar berkenaan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan memberi kesan seumur hidup kepada mereka.

“Jangan ingat mata itu nampak cantik, elok atau normal, dia tak ada masalah, sebenarnya dia juga ada masalah, mungkin dia tidak nampak papan hitam, papan putih atau sebagainya dan selalu menggosok mata atau melihat komputer riba sangat dekat, guru-guru harus merujuk mereka kepada pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari meninjau program pemeriksaan mata di SJKT Klebang, Chemor dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Projek Pemeriksaan Mata, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Saga Insan, K. Nachemutu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan program tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Jabatan Oftlamologi HRPB.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri melalui portfolio pendidikan akan membantu bersama-sama NGO dan semua pihak untuk mengenengahkan isu itu.

“Saya fikir sekolah ini adalah satu platform yang baik untuk menganjurkan aktiviti seperti ini kerana guru-guru dan PIBG dengan sokongan penghulu, ketua kampung, NGO, pejabat daerah dan sebagainya, akan membantu supaya anak-anak kita diberikan kemudahan yang terbaik untuk mereka belajar, sekaligus meningkatkan pencapaian mereka dari setahun ke setahun,” ujarnya.

Sementara itu, Nachemutu berkata, setakat ini, program yang dilancarkan 8 Februari lalu telah memeriksa seramai 2,160 pelajar di seluruh negeri Perak.

“Kita juga telah memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri agar membenarkan kita meneruskan program sehingga Oktober bagi membuat pemeriksaan sehingga 5,000 pelajar,” kata beliau.