IPOH : Lebih 100 orang pengawal keselamatan dari sebuah syarikat di zon Ipoh berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan Keselamatan Tenaga Nasional Berhad pada Jumaat.

Memorandum itu dibuat bagi menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya menghentikan penganiayaan dan penindasan terhadap pengawal keselamatan sejak dua tahun lalu.

Mereka yang berhimpun bagi menunjukkan bantahan itu mendakwa individu yang bertindak sebagai pembantu Ketua Gerakan Tempatan di jabatan tersebut sengaja mengenakan penalti dan tuduhan tidak munasabah terhadap pengawal keselamatan.

Salah seorang pengawal keselamatan, Muhamad Farit Iskandar Abdul Jalil mendakwa, ada di antara mereka yang terpaksa berhutang keliling pinggang termasuk dari ceti untuk membayar kadar penalti itu.

Malah katanya, gaji bulanan mereka hampir tiada kerana perlu melunaskan kadar penalti yang tidak munasabah, tambahan pula tiada budi bicara dari individu terbabit.

“Hendak bayar motor dan kereta nak bagi mak bapak lagi kan, kata orang senang cakap kita ada pemikiran akal logik fikirlah sepatutnya bagilah alasan yang munasabah.

“Bagi amaran kedua ketiga baru, yang keempat baru ambil tindakanlah harapan saya sekarang ni pihak yang dipertanggungjawab ambillah tindakan terhadap individu ini, janganlah aniaya kami,” katanya.

Katanya lagi, setelah merujuk perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja, ia ternyata telah melanggar amalan Undang-Undang Buruh.

Dalam pada itu, pengawal keselamatan dari zon Kinta, Nasharuddin Idris mendakwa individu berpangkat Sarjan itu juga memaksa mereka menuruti segala arahan dan akan diugut diberhentikan kerja jika melawan.

“Tidak memakai stokin akan dikenakan pembayaran RM 297.72 walaupun stokin tu basah waktu hujan kita kena waktu pergi kerja pun akan dikenakan caj.

“Bertugas melebihi 12 jam pegawai itu akan dicaj sebanyak RM 297.72 walaupun rakan tugasan kita tu datang lewat pun dengan alasan tertentu juga akan dikenakan caj.

“Selama saya bertugas, selalu kita tak pernah “clocking” jam, pengalaman saya lima tahun… pegawai tidak pernah kenakan caj tapi kali ini telah mengenakan caj sebanyak RM 206.75.

“Walaupun waktu itu kilat atau hujan, bagi kami tak sepatunya sebab kami bertugas di pencawang tnb, banyak risikonya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, mereka merayu supaya tindakan serta merta diambil serta campur tangan dari Ketua Jabatan Perkhidmatan Keselamatan Tenaga Nasional demi kebajikan pengawal keselamatan yang teraniaya.