IPOH: Walaupun baru dilancarkan sebulan lalu, portal mencari jodoh, Cinta Sakinah yang dibangunkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi membantu individu sukar mendapat pasangan berkahwin, telah merekodkan lebih 1,000 pendaftaran.

Malah, menurut Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin, pada hari pelancaran sahaja, 200 orang telah mendaftar.

“Harap-harap mereka ini benar-benar ingin berkahwin dan kita akan bantu mereka,” katanya kepada Astro Awani selepas merasmikan majlis nikah jama’ie syar’ie (nikah beramai-ramai) sempena jubli emas Masjid Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini, hari ini.

Hadir sama, Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh juga SU program dan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk JAIPk, Zakaria Ab

Pelancaran portal cintasakinahjaipk.perak.my itu juga menjadikan laman sesawang berkenaan yang pertama di negara ini diuruskan sepenuhnya oleh agensi kerajaan dan KPerak.

Mohd Yusop berkata, pengisian portal berkenaan disusun secara sistematik menepati kehendak perkahwinan dalam Islam.

Tidak seperti portal jodoh sedia ada, menerusi Cinta Sakinah perkenalan antara dua individu diurus serta dipantau hingga ke peringkat pertemuan dan pernikahan.

Ia bukan sekadar laman web biasa, jodoh yang dipilih akan dinilai sama ada menepati kehendak sebagai satu pasangan atau tidak.

“Pertemuan diatur di pejabat agama daerah ditemani anggota keluarga, jadi keduanya boleh bercerita tentang diri masing-masing, apabila ada kesesuaian dan persetujuan maka kita bantu hingga ke urusan pernikahan,” katanya.

Menurutnya, melalui sistem itu, Jaipk yakin dapat membantu individu yang sukar mencari jodoh sama ada disebabkan kesibukan kerja mahupun lanjut usia.

Sementara itu, seramai 13 pasangan mengambil bahagian di dalam program nikah beramai-ramai itu yang antara lain bagi membantu meringankan beban kewangan pasangan yang ingin berkahwin.

Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM1,800, termasuk untuk majlis kenduri bagi kaum keluarga terdekat.

Mohd Yusop berkata, masjid-masjid di Perak, khususnya masjid daerah, digalak untuk mengadakan program nikah jama’ie syar’ie, yang antara lain untuk mengimarahkan lagi masjid.

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, kira-kira 400 kaunselor telah dilantik di masjid-masjid seluruh negeri untuk membantu menyelesaikan masalah kekeluargaan.

Menurutnya, bilangan itu akan ditambah secara berperingkat-peringkat kerana Perak mempunyai lebih 600 buah masjid.

“Mereka telah dilatih untuk membantu menyelesaikan masalah ahli kariah masing-masing,” tambahnya.