SERDANG: Polis merampas lebih 1,000 dipercayai mesin simulator judi dalam talian dianggarkan bernilai RM2.7 juta di sebuah gudang di Jalan BS/10, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pihaknya membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira jam 1 pagi tadi selepas risikan sejak dua hari lalu sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Ketika serbuan, tiada individu di dalam premis berkenaan, sebaliknya hanya longgokan kotak mengandungi mesin simulator yang tidak berfungsi. Premis itu juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemeriksaan lanjut di lokasi ini menemui mesin simulator dipercayai untuk dibekalkan di premis judi dalam talian di seluruh negara.

“Siasatan mendapati mesin simulator itu yang diimport dari luar negara dianggarkan sudah disimpan di dalam gudang ini kira-kira dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, rampasan itu adalah terbesar membabitkan mesin simulator dipercayai digunakan untuk aktiviti judi dalam talian yang direkodkan tahun ini.

“Kami sedang mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini termasuk pemilik gudang.

“Semua rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya – berita harian