IPOH: Masa satu jam dimanfaatkan dengan program World #QuranHour di 688 lokasi terpilih di seluruh Perak serentak hari ini.

Ia melibatkan kira-kira 180,000 orang yang menyertai program itu di beberapa buah lokasi seperti masjid, surau dan Rumah Ngaji.

Menurut Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Perak, Noor Mazlina@Lily Noor Shah, program bagi tahun ini dianjurkan Kerajaan negeri dengan kerjasama Pertubuhan Wanita Prihatin Negeri Perak dan Rumah Ngaji Negeri Perak.

“Program diadakan secara serentak bermula jam 12 tengahari sehingga 1 petang di kesemua masjid, surau diri Jumaat di seluruh negeri ini.

“Melalui perhimpunan berskala besar sebegini, kita mengharapkan ia dapat menjadi permulaan kepada umat Islam secara keseluruhan untuk kembali mendekati dan membaca Al-Quran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program yang diadakan di Kediaman Menteri Besar Perak yang dirasmikan oleh Isteri Menteri Besar Perak, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi pada Khamis.

Ujarnya program itu berjaya menghimpunkan lebih 2,500 terdiri daripada pelajar, penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Noor Mazlina berkata, pihaknya juga berharap agar program itu dimasukkan ke dalam kalendar program kemerdekaan di masa hadapan.

Sementara itu, peserta,Hasrull Haton Naqain Mohd Heirollzaman, 38, berkata ia adalah pengalaman pertamanya menyertai program World #QuranHour secara beramai-ramai.

“Sebelum ini, saya memang mengikuti sentiasa program ini sejak awal tetapi hanya membaca seorang diri di rumah, tetapi pada kali ini perasaannya agak berbeza iaitu lebih bersemangat kerana dapat mengikuti bacaan secara beramai-ramai,” katanya kepada Suara Perak.

Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, Nur Suraya Yahya berkata program itu memberi peluang untuknya mendekati dan menghayati isi al-Quran.

“Sebelum ini saya mengikuti program yang dianjurkan di peringkat sekolah, tetapi di sini kita dapat berhimpun beramai-ramai, ia menjadikan kami lebih bersemangat untuk menyertai program ini setiap tahun,”ujarnya.