SUNGAI BULOH: Lebih dua juta pengguna dijangka memulakan perjalanan menuju ke kampung masing-masing, dua hari menjelang Aidilfitri.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa berkata, pengguna jalan raya perlu bersedia dan merancang perjalanan pulang ke kampung mereka begi mengelak kesesakan teruk.

“Kebanyakan orang ramai dijangka pulang ke kampung dua hari sebelum raya kerana mahu menikmati diskaun 50 peratus bayaran tol seperti diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan bersedia untuk berdepan kesesakan teruk yang dijangka berlaku. Contohnya, tempoh perjalanan ke Taiping, Perak hanya memerlukan masa empat jam pada waktu biasa, namun tempoh masa akan meningkat hingga dua kali ganda iaitu lapan jam untuk ke lokasi berkenaan pada dua hari sebelum raya.

“Bagaimanapun, kami turut menjangkakan kemungkinan lalu lintas lebih lancar berikutan ada yang sudah balik ke kampung masing-masing memandangkan cuti sekolah bermula minggu lalu,” katanya pada sidang media di Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh menghala utara, di sini, semalam.

Rosli juga menasihatkan pemandu supaya mengelak dari gejala `microsleep’ yang menjadi faktor utama menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Microsleep biasanya berlaku ketika pemanduan di jalan lurus atau sejam selepas makan.

“Pemandu atau penunggang motosikal mungkin tidak sedar antara dua hingga 30 saat yang boleh menyebabkan mereka terbabas atau melanggar kenderaan lain.

“Sekiranya berlaku gejala itu, pemandu atau penunggang dinasihatkan supaya tidak meneruskan pemanduan. Ambil masa untuk rehat atau meminta individu lain memandu bagi mengelak kemalangan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak tindakan undang-undang – berita harian