IPOH: Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Raja Muda Musa berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Hari Deepavali peringkat negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Buntong, di sini pada Ahad.

Turut mengiringi baginda, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta barisan Exco kerajaan negeri.

Lebih 2,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan majlis itu yang diadakan bersempena sambutan Deepavali yang jatuh pada 6 November lalu.

Di samping menjamu selera dengan makanan tradisi masyarakat India, majlis diserikan lagi dengan persembahan nyanyian dan tarian yang disampaikan oleh artis kebudayaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna dengan isu-isu berkaitan kaum India dan mengenalpasti bahawa bidang pendidikan antara penyelesaian dalam membebaskan mereka dari gejala sosial.

“Kaum India bukan lagi seperti dahulu yang hanya bekerja di ladang-ladang, sebaliknya mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Mereka bergiat aktif dalam pelbagai bidang seperti perundangan, perubatan, akademik, pentadbiran negara malahan kita berbangga dengan pencapaian atlet Malaysia yang berbangsa India dan telah mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Perayaan Deepavali disambut pada hari ke-14 bulan aipasi dalam kalender Tamil, di antara bulan Oktober dan November.

Mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, Deepavali diraikan sebagai tanda kemenangan rakyat menentang kezaliman bagi menegakkan keadilan.