IPOH: Lebih 2,000 umat Islam menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD di pekarangan Masjid Negeri di sini, selepas solat Jumaat.

Beberapa pemimpin PAS, UMNO, Berjasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di negeri ini turut memberi ucapan membantah konvensyen itu.

Mereka mendesak supaya kerajaan tidak melayan konvensyen itu kerana ia dikatakan jelas bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Selepas berhimpun dan mendengar pidato daripada beberapa pemimpin parti dan NGO, mereka kemudiannya berarak ke pejabat Majlis Peguam (BAR) Perak yang terletak kira-kira 100 meter daripada masjid.

Setibanya di pejabar BAR Perak, beberapa wakil kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil BAR Perak.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang mewakili kumpulan itu berkata, inilah perhimpunan terbesar pernah diadakan di Perak, selepas solat Jumaat.

Menurutnya, perhimpunan itu adalah sebagai ‘signal’ awal kepada mereka yang ingin
bersekongkol dengan penyokong ICERD.

“Ini Malaysia, majoritinya 63 peratus orang Islam dan kita tidak pernah berlaku perkara-perkara penindasan terhadap orang-orang bukan Islam, orang-orang bukan Melayu, termasuklah orang Cina sendiri.

“Kita tengok mereka menguasai ekonomi, kita tidak ada masalah, mereka juga menubuhkan sekolah persendirian Cina, sekolah kebangsaan Cina, sekolah Tamil, kita tidak ada masalah, malah mereka ada universiti, kita tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil BAR Perak.

Bagaimanapun, beliau berharap
tindakan-tindakan yang diambil jangan sampai menimbulkan masalah, yang boleh menjejaskan keharmonian yang wujud selama ini setelah 61 tahun Malaysia merdeka.

“Jangan ada unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan ataupun berlakunya porak peranda di dalam negara ini.

“Kita hendak kepada keamanan tetapi kita minta supaya ianya jangan diganggu oleh mana-mana pihak, sama ada di dalam negeri ini ataupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya.