BUKIT MERAH: Lebih 20,000 orang membanjiri taman tema, Bukit Merah Laketown Resort sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 pada Jumaat.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyidin Yassin; Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu dan beberapa menteri cabinet.

Kira-kira 100 khemah disediakan di taman tema itu, yang turut menyediakan lebih 30 jenis juadah untuk dinikmati oleh rakyat berbagai kaum dan agama.

Walaupun majlis rasmi hanya bermula jam 3 petang, orang ramai telah datang seawal jam 11 pagi untuk bermain pelbagai jenis permainan di taman itu, khususnya taman tema air yang dibuka secara percuma sehingga jam 9 malam.

Selain menikmati pelbagai juadah, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan hiburan daripada beberapa artis popular seperti Datuk Jamal Abdillah, Zamani Slam, Amalina dan persembahan kebudayaan Kumpulan Selendang Perak.

Sempena program tersebut, sebanyak RM750,000 berjaya dikumpulkan untuk Tabung Harapan Malaysia daripada pelbagai pihak dan orang perseorangan.

Tun Dr Mahathir di dalam ucapannya berkata, rakyat Malaysia bertuah kerana dapat hidup di dalam sebuah negara yang aman dan damai sehingga boleh bersama-sama menyambut perayaan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Sempena majlis itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara tiga yayasan iaitu Yayasan Emkay, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Hutan Bukit Merah dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

MoU itu antara lain untuk mempromosikan kerjasama akademik bertaraf antarabangsa di dalam beberapa bidang tertentu berlandaskan kepada empat teras utama iaitu pendidikan, penyelidikan, pemeliharaan dan pemuliharaan.