BAGAN DATUK – Masalah yang membelenggu hampir 100 pemilik tanah Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Sungai Ipil sejak 32 tahun lalu masih lagi berlanjutan dan dilihat bagai tiada penyelesaian.

Walaupun Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk sudah menyelesaikan masalah pencerobohan tanah oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menanam kelapa sawit Februari tahun lalu, ia didakwa tidak membawa sebarang perubahan kepada pemilik tanah berkenaan.

Salah seorang peserta RPT Sungai Ipil, Abd Hadi Mokhtar, 59, melahirkan rasa kecewanya dengan apa yang berlaku selepas gagal menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa mengenai status terkini RPT berkenaan.

“Secara jujurnya saya tawar hati, dah 32 tahun kami tidak dapat duduk atas tanah kami walaupun cukai di bayar tiap tahun tanpa ada tunggakan, tapi macam itulah keadaannya tiada infrastruktur dibina untuk membolehkan kami mendirikan rumah.

“Ini tanah Melayu tapi pemimpin Melayu tak dapat bela orang Melayu dan saya terfikir apa akan jadi kepada kami sudah ada yang masuk generasi ketiga masih tak dapat duduk tanah, ramai dah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamanya di Hutan Melintang.

Menurut Abd Hadi, dia dan hampir 100 peserta RPT Sungai Ipil menggesa Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu campur tangan membantu menyelesaikan masalah mereka dengan membina kemudahan asas seperti jalan, air dan elektrik di RPT tersebut.

“Dah minta kerajaan sebelum ini dan mereka sudah tolong tapi mereka kalah dan sekarang kerajaan baharu kami pun tak tahu status peruntukkan RPT Sungai Ipil macam mana, kalau boleh kerajaan baharu berilah perhatian serius terhadap masalah kami ini.

“Saya ada hantar surat ke pejabat MB dan ada menerima maklum balas aduan diterima tetapi kalau boleh saya merayu MB tengoklah masalah kami dan bantu selesaikan sudah lebih 32 tahun menanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zulhilmi Ahmad Anuar, 21, melahirkan rasa terkilan apabila arwah bapanya Ahmad Anuar Shaarani tidak sempat duduk di tanah yang diperjuangkan olehnya selama ini.

“Arwah ayah saya merupakan antara individu yang berjuang memastikan nasib kami serta pemilik tanah yang lain terbela, dari tiada apa tindakan berpuluh tahun hinggalah ia dibersihkan sebagai ladang kelapa sawit haram tahun lalu.

“Tetapi selepas itu tiada apa tindakan diambil kerajaan negeri dan dia tetap berjuang menghantar pelbagai surat kepada kerajaan baharu hingga dia meninggal dunia September lalu,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian masih menunggu maklum balas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu belum memberi sebarang jawapan apabila ditanya mengenai masalah berkenaan – sinar