KUALA LUMPUR : Panas terik di ibu kota tidak menghalang lebih 300 peserta berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di istana negara hari ini.

Himpunan tersebut, yang merupakan anjuran NGO Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bertujuan memohon campur tangan baginda berkaitan dakwaan penghinaan terhadap institusi raja, Melayu dan Islam.

Seawal jam 8 pagi, peserta yang kebanyakannya mengenakan baju Melayu serta bertanjak seperti pendekar mula berhimpun dan bersiap sedia di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan.

Mereka juga kelihatan mengibar bendera yang tertera tulisan seperti “Patuhi Rukun Negara”, “Komunis adalah Pengganas” dan “Menjunjung Titah Tuanku”.

Sebelum ke Istana Negara, Timbalan Presiden Pembela, Masrizi Sad memaklumkan kepada peserta bahawa tiada perarakan diadakan susulan tidak mendapat kebenaran pihak polis.

“Kita tidak akan berarak tetapi akan menaiki kereta sendiri diiringi pihak polis di sana,” katanya.

Usai memberi taklimat tepat jam 11.15 pagi, peserta mula menaiki kereta sendiri untuk memacu ke Istana Negara bagi menyempurnakan acara tersebut.

Bagaimanapun, hanya tiga wakil dibenarkan masuk, manakala peserta lain menunggu di hadapan pagar istana.