LENGGONG: Lebih 30,000 pengunjung telah memeriahkan Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong sekaligus berjaya mencapai matlamat penganjurannya.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya amat gembira dengan kejayaan tersebut kerana ia membuktikan sukan dan kebudayaan mampu menyatukan penduduk Lenggong.

“Objektif utama memperkenalkan Tapak Warisan Dunia Lenggong kepada orang luar juga berjaya dicapai di mana selain orang tempatan, program ini turut mendapat penyertaan daripada masyarakat luar.

“Program dwi-tahunan ini sudah menjadi antara mercu tanda di Lenggong kerana ramai orang menantikan kehadiran program ini.¬†Kehadiran pengunjung memang di luar jangkaan.

“Penyertaan dari seluruh kelompok masyarakat juga menunjukkan bahawa program ini diterima pelbagai golongan. Rakyat Lenggong dapat nikmati limpahan pembangunan kerajaan melalui program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong yang diaempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Turut hadir, Exco Negeri, Datuk Saarani Mohamad, Adun Kenering, Datuk Mohd Termizi Idris dan Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.

Terdahulu, Khairy  dalam ucapannya memuji penganjuran program tersebut kerana ia membuktikan bahawa sukan bukan khusus untuk golongan muda sahaja.

Menurutnya, penganjuran program seperti itu menepati aspirasi dan misi kementeriannya yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan budaya bersukan.

“Malah sukan juga sebenarnya medium untuk menyatukan rakyat. Kita lihat kalau ada program besar seperti Olimpik atau kejohanan dunia, semua rakyat Malaysia memberi sokongan kepada atlet negara.

“Saya mahu lihat rakyat Malaysia sihat dan mengamalkan budaya hidup sihat agar bila sudah tua nanti, mereka tidak terkena penyakit yang sebenarnya boleh dielak jika dikawal dari awal,” katanya.

Karnival siri ketiga yang bermula pada 3 Mei lalu itu telah menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk kesemua lapisan masyarakat.

Selain terdapat pelbagai gerai jualan, pameran dan cabutan bertuah, pengunjung juga telah dihiburkan oleh artis terkenal tanah air seperti Zamani Slam, Sufi AF, Wani Kayrie, Yabang Khalifah dan Salwa Abd. Rahman.