TELUK INTAN: Lebih 400 warga miskin dari masyarakat Orang Asli menerima bantuan sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak pada 18 – 22 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, antara bantuan yang diterima ialah barangan keperluan makanan dan rawatan pemeriksaan percuma.

Menurut beliau, bantuan makanan disumbangkan Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) manakala rawatan kesihatan percuma diberikan Pusat Rawatan Islam Wilayah (PUSRAWI).

44d11221-2fbf-40df-bbf5-946dcf5c13bc

Beliau berkata, selain masyarakat Orang Asli, pihaknya juga memberi sumbangan kepad 40 saudara baru di sekitar daerah Hilir Perak.

“Kita telah menjalin kerjasama dengan PUSRAWI untuk program ziarah mahabbah sepanjang permukiman bagi memberi sumbangan, bantuan makanan dan motivasi kepada kumpulan sasaran,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan CSR Hammam dan penyampian hadiah pertandingan mewarna di Masjid Kg Selabak, dekat sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

058142c2-301c-426c-9c54-d8185ebb70fb

Drs Nizar berkata, pertandingan mewarna diadakan antara lain bagi menanam perasaan suka kepada kebersihan, termasuk kebersihan tandas (hammam) di kalangan umat Islam, bermula pada usia muda.

“Dengan adanya Skuad Hammam di JAIPk, kita berharap ia dapat menggalakkan masyarakat setempat untuk sama-sama menyertai gotong royong dan dalam masa sama, kita juga berharap jabatan-jabatan juga menubuhkan skuad hammam mereka, tambah-tambah lagi 2017 merupakan Tahun Melawat Perak,” ujarnya.

Drs Nizar berpendapat, program permukiman yang dianjurkan, bukan program main-main tetapi membuktikan kesungguhan pemimpin untuk turun padang merapatkan ukhwah silaturrahim di samping membantu menyelesaikan masalah rakyat setempat.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata, JAIPk telah menetapkan enam program utama yang akan diadakan sepanjang program permukiman.

Menurut beliau, program-program itu ialah ziarah mahabbah, fit masjid, csr hammam, qiamullail dan ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias.