LUMUT: Lebih 40,000 ahli UMNO seluruh negara masih lagi belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pengundi walaupun telah layak.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, angka itu telah dikenal pasti dan pihaknya sedang berusaha mendaftarkan mereka semua sebelum Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menurut beliau, sebenarnya jumlah asal bilangan itu ialah lebih 100,000 tapi telah berjaya dikurangkan sehingga 40,000.

 “Kita telah kenal pasti ahli-ahli kita yang belum berdaftar termasuk juga ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional yang lain, kita akan dekati mereka dan bantu mereka daftar secepat mungkin,” katannya pada satu sidang media selepas menghadiri Program Retreat Pemuda BN Perak di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Pemuda BN Perak berkata, pihaknya kini sedang dalam proses menambat hati lebih 80,000 pengundi baharu di negeri tersebut.

“Di Perak setakat suku tahun kedua 2016, kita ada 80,000 pengundi baharu yang merupakan pertama kali akan mengundi dan kita percaya, dengan gerak kerja Pemuda BN Perak yang kita rangkakan, lebih 80 peratus akan berjaya dipikat.

“Sekarang ini kita di peringkat mengenal pasti mereka ini dahulu dan peringkat seterusnya ialah peringkat “penukaran” (conversion) mereka ke BN,  kita sedang mengusahakan semua perkara ini,” tambah beliau.

Sementara itu dalam isu berlainan, Khairul Azwan mendakwa masa depan negara akan berada dalam keadaan merbahaya sekiranya pihak pembangkang memenangi PRU-14 akan datang.

Beliau menjelaskan, ini kerana, Malaysia akan mempunyai seorang Perdana Menteri yang dikawal oleh Timbalan Perdana Menterinya iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Kita semua tahu dia (Kit Siang) sebenarnya akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan dia juga akan menentukan siapa akan menjadi Perdana Menteri.

“Ini bermaksud dia (Kit Siang) akan menjadi Perdana Menteri De Facto sebenar, sekiranya ini betul terjadi