KUALA LUMPUR: Lebih 491,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 sudah mendaftar sebagai pengundi sejak 2004.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Latihan Khidmat Negara, (JLKN), Azlan Abd Majid, berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam merangka modul simulasi proses pilihan raya sejak sekian lama.

Katanya, modul terbabit yang bersifat patriotisme bertujuan memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda.

“Bagi setiap kem PLKN, antara pengisiannya selain memberi pendedahan mengenai kepentingan demokrasi, pelatih juga terdedah kepada proses pilihan raya.
“Kita mempunyai simulasi bagi memberi gambaran sebenar bagaimana untuk mengundi dan kepentingan mengundi.

“Jumlah 491,491 pendaftar baru daripada bekas pelatih ini menunjukkan aktiviti simulasi itu berkesan kerana sedar tanggungjawab mereka,” katanya pada perasmian majlis pelancaran pergerakan masuk pelatih PLKN 2.0 kumpulan 2 siri 15/2018, di sini, hari ini.

Pergerakan pelatih diadakan serentak di seluruh negara bermula hari ini dan esok dengan membabitkan 80 buah pusat berkumpul.

Latihan PLKN akan berlangsung selama dua bulan bermula hari ini hingga 17 Mei depan.

Azlan berkata, sebanyak 13,766 ribu Notis Panggilan Pelatih (NPP) sudah dikeluarkan bagi siri ini dan anggaran lebih 8,000 pelatih akan mendaftar.

“Setakat tahun ini, sebanyak 11,776 pelatih berjaya menamatkan latihan pada kemasukan kumpulan satu.

“Sepanjang program berlangsung, pelatih akan sentiasa diawasi oleh jurulatih kami yang berkaliber, justeru ibu bapa tidak perlu risau mengenai anak mereka,” katanya.

Sementara itu, seramai 300 peserta hadir di perkarangan bangunan Zetro JLKN, bagi menyertai rombongan bas ke dua buah kem iaitu di Kem PLKN Paya Indah, Kuala Langat, Selangor dan Kem PLKN Ulu Pari, Rembau, Negeri Sembilan.

Pelatih, Keerthana Ramasundram, 18, yang menetap di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, berkata dia teruja untuk menyertai latihan PLKN dan berharap ia menjadi titik tolak kepada impiannya untuk menjadi seorang tentera.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang tentera, justeru saya harap penyertaan ke PLKN ini akan menjadi asas sebelum dilatih menjadi pasukan tentera.

“Keluarga dan guru memberi dorongan dan galakan, malah cita-cita ini turut dipengaruhi oleh beberapa ahli keluarga yang juga seorang perajurit,” katanya.

Bagi Chong Wei Yi, 17, dia memohon untuk menyertai PLKN secara sukarela kerana minat untuk menyertai aktiviti yang disediakan.

“Ini satu pengalaman berharga buat saya, malah selepas tamat persekolahan saya tidak mungkin mendapat peluang seperti ini.

“Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang dan mahu mencari ramai kawan baru dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Seorang pelatih, Khairul Nizam Muhd Sadzil, 18, yang mahu peribadinya lebih disiplin yakin latihan PLKN mahu membentuk dirinya untuk menjadi individu lebih baik.

“Bagi seorang lelaki, amat penting untuk kami berdisiplin dan tahu menguruskan diri.

“Ciri-ciri ini perlu untuk membentuk seorang pemimpin dan saya mahu jadi pelapis harapan bangsa pada masa akan datang,” katanya.