IPOH: Lebih 500 petugas media akan membuat liputan sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) XIX yang akan berlangsung dari 12 – 22 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, daripada jumlah itu, antara 250 hingga 300 adalah wartawan manakala bakinya petugas lain.

Menurut beliau, mereka akan bertugas di venue pertanding di 12 daerah di seluruh negeri Perak untuk membuat liputan menyeluruh temasya sukan itu.

“Kita menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka, termasuk mini pusat media di semua daerah,” katanya kepada media selepas taklimat media di pusat media di Kompleks Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Perak menjadi tuan rumah SUKMA kali kedua selepas SUKMA V pada tahun 1994.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan SUKMA XIX pada 11 September manakala acara penutup pada 22 September dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.