TELUK INTAN: Lebih 5,000 umat Islam membanjiri Arena Square Teluk Intan untuk mendengar ceramah perdana Datuk Ustaz Kazim Elias (Ustaz Kazim) pada Khamis malam, sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin.

Walaupun hujan renyai-renyai turut sebelum program itu, ia tidak menghalang umat Islam dari kawasan berhampiran untuk datang beramai-ramai mendengar topic-topik santai dari penceramah popular itu.

Seperti biasa, Ustaz Kazim akan memberi ceramah mengenai kehidupan dan di dalam program di Teluk Intan ini, beliau memilih tajuk cara-cara untuk menangani tekanan.

Ceramah Ustaz Kazim adalah antara aktiviti utama yang diadakan sepanjang program permukiman.