IPOH– Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini pada Jumaat malam.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut sama mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal, serta barisan Exco kerajaan negeri.

Lebih 5,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang bermula jam 8 malam dengan disertakan pelbagai persembahan tarian dan  kebudayaan.

Turut mencuri tumpuan pengunjung, persembahan lakon puisi merdeka “Serikandi Gelang Emas Merdeka” dan formasi kompang dari sekumpulan kanak-kanak dengan iringan muzik.

Sementara itu, Ahmad Faizal ketika berucap dalam majlis itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat menjayakan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri.

“Saya amat mengagumi tahap iltizam dan kesungguhan setiap peserta dalam menzahirkan rasa cinta mereka terhadap tanahair ini.

“Tahniah buat semua kontinjen yang telah dipilih sebagai pemenang dan syabas juga saya ucapkan kepada kontinjen lain yang telah memberikan persembahan yang terbaik.

“Kemeriahan acara perbarisan pagi tadi adalah hasil dari pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan negara dalam memelihara kedaulatan Malaysia,”ujarnya.

Acara kemuncak disusuli dengan gimik pelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2018, nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.