TANJUNG MALIM: Lebih 5,000 masyarakat daripada pelbagai peringkat usia membanjiri program Fit Perak Muallim bersempena Permukiman Menteri Besar di sini, pada Sabtu.

Program yang berlangsung meriah di Tasik Embayu, Proton City itu telah digamatkan dengan pelbagai program bersukan seawal jam 7.30 pagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program itu diwujudkan bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga kesihatan di kalangan rakyat.

Katanya ia penting memandangkan Malaysia dicatatkan sebagai negara tertinggi dalam kes masalah obesiti tertinggi di Asia.

“Selain penyediaan infrastruktur asas dan beberapa perancangan untuk kesejahteraan rakyat, kerajaan persekutuan melalui kerajaan negeri juga telah dan sedang berusaha membantu meningkatkan kesedaran kepada semua pihak terhadap kepentingan kesihatan dan menuju ke arah negeri yang sihat.

 

IMG-20170722-WA0008

“Kita sememangnya memandang serius kepada tahap kesihatan rakyat dengan penyediaan beberapa inisiatif seperti kempen-kempen kesihatan dan yang paling terkini dan sering mendapat sambutan ialah Fit Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Beliau berharap sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat terhadap program berteraskan sukan akan berterusan di masa akan datang.

Dr Zambry terdahulu telah menyertai acara berbasikal 10 kilometer bersama EXCO kerajaan negeri dan pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan.

Program itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik dan pameran dari pelbagai agensi termasuk pameran kerjaya dari Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).