TAIPING: Walaupun penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan telah dilaksanakan 1 Januari lalu, lebih 60 peratus premis itu yang telah diperiksa di Perak, tidak mempunyai tanda larangan merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sehingga Jumaat, daripada 6,265 premis yang diperiksa, 3,808 atau 60.7 peratus tiada tanda larangan merokok.

Beliau memberitahu, Perak mempunyai kira-kira 14,000 premis makanan dan Jabatan Kesihatan Negeri mempunyai 340 pegawai untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasa dan pendidikan.

“Sebanyak 4,185 notis amaran telah dikeluarkan terhadap pengusaha manakala 86 notis kepada perokok yang merokok di tempat makan,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke pasar pagi di sini, pada Sabtu.

Menurutnya sebanyak 14,591 aktiviti pendidikan kesihatan telah dijalankan di samping 3,809 risalah telah diedarkan kepada pengusaha dan orang awam.

Beliau berkata, penambahan kawasan merokok ini akan melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok.

“Ini merupakan pendekatan ‘denormization’ iaitu masyarakat menolak budaya merokok di khalayak ramai dengan harapan ramai perokok yang berhenti merokok,” ujarnya.