SUNGAI MANIK: Lebih 60 buah rumah rosak selepas ribut melanda beberapa buah kampung di kawasan Sungai Manik dan Chenderong Balai pada petang Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kejadian ribut dengan hujan lebat itu berlaku kira-kira jam 4 petang dan berakhir sejam kemudian.

6009fa51-8f16-40b1-8692-b950acdf1054Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak berkata, antara kampung yang terlibat ialah Sungai Tungku dan Parit 7 hingga Parit 9.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada laporan mengenai kemalangan dan kecederaan serius dalam kejadian itu,” katanya kepada Suara Perak.

Menurut Zainol Fadzi, kejadian itu menyebabkan bumbung rumah-rumah terbabit diterbangkan ribut di samping menumbangkan beberapa batang pokok.

Selain itu, beberapa tiang elektrik dan telefon juga tumbang sehingga  menghempap beberapa buah kenderaan.

 

“Kita sedang mengumpulkan maklumat daripada ketua-ketua kampung dan bantuan awal dijangka disalurkan pagi esok,” ujarnya.