KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan bersama-sama 6,000 orang menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavillion di sini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta berisan exco kerajaan negeri.

Larian bermula 6.30 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda yang disambut pada 4 Nov lalu.

Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan 7km, manakala peserta kategori tetamu kehormat melibatkan jarak 2km dilepaskan Raja Datuk Seri Yong Sofia, adinda Sultan Nazrin.

— BERNAMA