PUTRAJAYA: Sebanyak 7,084,726 permohonan bagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 diluluskan sehingga 31 Mac lalu

membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM6.12 bilion.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, ia merangkumi bantuan sebanyak RM1,200 kepada 3,705,853 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, dan bantuan RM900 kepada 324,973 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000.

“Ia juga termasuk bantuan RM450 kepada 3,053,900 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah,” katanya.

Selain itu, bagi pemohon yang gagal dalam permohonan BR1M 2018, rayuan dan penghantaran dokumen sokongan boleh dibuat mulai 2 April lalu hingga 31 Mei ini di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) terdekat.

Pemohon juga boleh menghantar permohonan secara pos ke alamat Peti Surat BR1M, GPO Shah Alam bersama dokumen sokongan berkaitan seperti penyata gaji dan salinan kad pengenalan pasangan/tanggungan terkini.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my – berita harian