JOHOR BAHRU: Seramai 8,119 pegawai dan anggota polis Johor, termasuk polis sukarela dikerah bertugas sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd,berkata, tiada isu kekurangan anggota berikutan pihaknya turut dibantu pasukan Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sepanjang PRU.

“Kita di Johor, saya boleh katakan hampir 100 peratus dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU-14 ini nanti.

“Seramai7,396 anggota polis akan ditugaskan dengan bantuan PVR seramai 393, manakala bantuan dari anggota RELA 330 orang.

“Insyallah tugas mereka inilah yang akan memastikan segala aktiviti semasa penamaan calon, proses pengundian dan sebagainya akan dapat dijalankan dengan sempurna dan selamat.

“Sebenarnya kita sudah bersedia sejak awal lagi dengan jangkaan PRU akan diadakan bila-bila masa untuk menghadapi sebarang ancaman kemungkinan berlaku di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mselepas menyampaikan anugerah cemerlang anak-anak polis berketurunan India, di Jalan Ungku Puan, di sini malam ini.

Pada majlis itu seramai sembilan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penghargaan dan wang tunai.

Pada masa sama, Mohd Khalil mahu orang ramai termasuk parti bertanding diminta mematuhi peraturan ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang kejadian dan insiden sepanjang PRU14.

Selain itu katanya, daripada aspek logistik dan latihan, pihaknya memberi jaminan kelancaran PRU kali ini akan berlaku dengan aman – berita harian