MANJUNG: Lebih 30 masjid dan 51 surau di Parlimen Lumut menerima sumbangan bagi melaksanakan aktiviti dan program sempena bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sumbangan tersebut merupakan bantuan bagi meringankan beban ahli jawatankuasa masjid dan surau dalam melakukan aktiviti pada bulan Ramadan.

“Ini adalah sumbangan kita dengan harapan ianya dapat sedikit sebanyak membantu menjalankan aktiviti Ramadan yang akan sampai tidak lama lagi.

“Sumbangan ini bukan perkara baru malah setiap tahun kita telah berikan, jadi gunakan ia sebaik mungkin,” katanya berucap dalam majlis ringkas penyampaian sumbangan berkenaan di Masjid Daerah Manjung, di sini pada Isnin.

Sumbangan tersebut berupa wang tunai RM 1,000 untuk setiap masjid dan RM500 bagi setiap surau.

Dr Zambry turut menyeru umat Islam yang bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi untuk menggandakan amalan mereka.

“Ini peluang untuk gandakan amalan kita, tingkatkan amalan berbanding hari biasa; jaga sikap, mata dan mulut.

“Dunia luar juga kini melihat umat Islam, jadi bersama kita tunjukkan indahnya agama ini,” ujar beliau.