GUNUNG SEMANGGOL– Lebih 84,000 individu berdepan risiko disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana gagal melunaskan bayaran kompaun kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, daripada 98,850 bilangan saman yang dikeluarkan bermula 1 September 2018 hingga 21 Januari 2019, hanya 10,876 telah diselesaikan.

 

Ujarnya lagi, sejumlah 28,512 pesalah lalu lintas telah disenarai hitam dan dikeluarkan waran tangkap bagi tempoh Disember 2018.

“Jabatan ini telah memulakan pendakwaan pertama kes Awas di mahkamah bermula 7 November 2018 di Mahkamah Gurun, Kedah, Ipoh, Sungai Siput dan diikuti 8 November di Mahkamah Sungai Petani, Sungai Jawi, Taiping dan Tapah.

“Kalau mereka yang sudah disenarai hitam, perlu selesaikan saman dan pihak JPJ serta merta akan kemas kini dalam sistem, tiada sebarang kelonggaran bagi bayaran saman dan mereka perlu membuat bayaran penuh.

“Matlamat utama saman ini untuk memastikan pematuhan undang-undang, sebab itu kita pastikan setiap kamera (Awas) yang dipasang di lebuhraya mempunyai tiga papan tanda amaran bagi jarak kilometer tertentu,”katanya.

Shaharuddin berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan di Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol (arah selatan) pada Jumaat.

Yang turut sama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail dan Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakarian.

Sehingga kini terdapat 45 kamera Awas di seluruh semenanjung Malaysia, 17 daripadanya diletakkan di lebuhraya dan selebihnya di jalan-jalan Persekutuan.

Ia berfungsi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan gagal mematuhi lampu merah pada isyarat lalu lintas.

Stesen JPJ di R&R Gunung Semanggol (arah selatan) adalah yang kedua dibuka di lebuhraya PLUS selepas Stesen JPJ Dengkil (arah selatan), tahun lalu.