IPOH: Sebanyak 8,690 buah kenderaan di Perak telah diperiksa dalam tempoh 24 jam selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata, pemeriksaan dilakukan ketika sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan oleh semua 15 pejabat polis daerah di negeri ini.

Menurut beliau, sebanyak 81 sekatan jalan raya dilakukan untuk memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang digazetkan 18 Mac lalu.

“Setakat ini kita masih menggunakan pendekatan memberi nasihat agar mereka mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razarudin berkata, dalam tempoh yang sama juga, pihaknya telah memberi nasihat kepada 5,871 orang supaya bersurai daripada berkumpul.