KUALA LUMPUR – “Kenapa dahulu bila satu dunia kenali Malaysia sebagai Kleptokrasi, TMJ bersama Najib tetapi sekarang suruh PM yang diberikan mandat oleh rakyat untuk “ditukar”?

Itu persoalan yang dibangkitkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi ciapan di laman Twitter.

Ahli Parlimen turut menyindir TMJ dengan berkata: “Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang PM.”

Katanya, walaupun TMJ menggesa orang Johor untuk mengekalkan Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14, namun terbukit rakyat tetap bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan menolak gesaan beliau itu.
“Kami berkhidmat demi rakyat. Jatuh bangun kerajaan ini adaIah di tangan rakyat. Ini negara demokrasi berpelembagaan,” katanya.
Semalam Dr Mahathir ketika ditanya wartawan tentang isu tersebut di Beijing berkata, hanya rakyat boleh menukar perdana menteri sambil mengingat TMJ bahawa beliau bukanlah orang besar.

Perdana Menteri merujuk kepada kenyataan TMJ dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Video tersebut memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ” tetapi ada seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Susulan itu, kenderaan SUV membawa TMJ tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata: “Daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri.” – MalaysiaGazette