KAJANG – Kerajaan akan memasang lebih daripada 11 buah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai langkah mendisplinkan orang ramai terhadap keselamatan di jalan raya.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, sebanyak 11 buah kamera yang diumumkan hendak dipasang sebelum ini merupakan permohonan awal daripada pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Konsesi tersebut katanya, membuat permohonan itu selepas mengenal pasti beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan hingga menyebabkan kematian akibat memandu melebihi had laju.

“Miros dimaklumkan PLUS telah memanjangkan surat permohonan kepada kementerian dan seterusnya akan memanggil kami untuk bersama meneliti cadangan lokasi baharu meletakkan kamera AES.

“Antara lokasi yang dikenal pasti adalah di Jambatan Pulau Pinang, iaitu tambahan daripada 11 lokasi sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Nota Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS antara Tan Sri Lee Lam Thye kepada Datuk Suret Singh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zaharah berkata, susulan kes kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke laut dan pemandunya maut di Jambatan Pulau Pinang bulan lalu, PLUS mendapati terdapat keperluan menambah kamera berkenaan di kawasan tersebut juga.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerajaan akan menambah 11 buah kamera AES di lebuhraya PLUS sebagai startegi mengurangkan kemalangan di lebuh raya.

Malah, Siew Fook turut menyatakan tidak ada sebarang diskaun terhadap saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi setiap kesalahan lalu lintas oleh pengguna. – MalaysiaGazette