IPOH, 12 Sept (Bernama) — Lebih banyak kawasan akan dimasukkan di bawah badan Amanah Warisan Negara (AWAN) bagi mengekal dan melindungi kawasan hijau untuk generasi akan datang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata antara kawasan yang terlibat ialah Pulau Anak Tikus, Hutan Kilim Geoforest Park dan ‘dropstone’ yang terletak di Langkawi.

“Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Taman Tugu di Kuala Lumpur diletakkan dibawah AWAN. Namun selepas perbincangan pertama dibuat bersama Khazanah Nasional Berhad, saya rasa ada khazanah negara lain patut dimasukkan sekali (dalam AWAN) bersama Taman Tugu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Dialog Asean sempena Dialog Pangkor 2017 di sini hari ini yang bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ anjuran Institut Darul Ridzuan.

Pada 4 Sept lepas perdana menteri mengumumkan kerajaan telah meluluskan supaya Taman Tugu diletakkan di bawah satu badan amanah awam iaitu AWAN dengan anggaran kos RM650 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Projek Taman Tugu itu bakal menempatkan pelbagai tarikan termasuk 1,000 spesies flora dan fauna, kawasan perkhemahan, laluan mendaki dan pejalan kaki.

Najib turut mengumumkan kawasan tambahan seluas 10.12 hektar bersebelahan tapak Projek Taman Tugu sedia ada seluas 26.7 hektar, menjadikan keseluruhan kawasan seluas 36.82 hektar itu diletakkan di bawah AWAN.

— BERNAMA